LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang: Polis bakal memanggil penceramah agama dan orang kenamaan yang didakwa menghadiri majlis tahnik anak Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, setakat ini 10 individu sudah dirakam keterangannya termasuk penganjur.

"Mereka akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Majlis tahnik anak kedua penyanyi nombor satu negara itu disiasat susulan dakwaan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pada 3 Mei lalu, Mohamad Farouk Eshak dilapor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung majlis berkenaan yang dianjurkan di Bukit Antarabangsa, di sini.

Menurutnya, siasatan kes dijalankan mengikut Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Terdahulu, pengguna media sosial mempersoalkan kehadiran individu ternama ke majlis itu yang diadakan di kediaman Siti, termasuk penceramah dari Terengganu, Ustaz Azhar Idrus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 4:13 PM