BERNAMA

Kuala Lumpur: Perkhidmatan rel Transit Aliran Ringan (LRT) di Lembah Klang akan beroperasi seperti biasa dari 6 pagi hingga tengah malam ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melibatkan enam daerah di Selangor yang berkuat kuasa hari ini hingga 17 Mei depan.

Ketua Pegawai Operasi LRT Azmi Mohd Zain bagaimanapun berkata, jumlah penumpang mula menunjukkan penyusutan termasuk pada waktu puncak selain kesesakan di kawasan menunggu stesen juga berkurangan.

"Terdapat sedikit pengurangan (penumpang) hari ini, dan pada 8 pagi tadi penumpang yang menunggu di platform ini (Stesen Pasar Seni) juga dilihat kurang daripada biasa kecuali apabila LRT tiba, baru nampak penumpang yang sedang menunggu.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

"Tahap kapasiti penumpang (ridership) sejak PKP dilaksanakan tahun lalu hanya mencapai 45 peratus, jadi tak perlu khuatir kepadatan dalam LRT atau kesesakan dalam stesen kerana prosedur operasi standard pembersihan dalam LRT berjalan seperti biasa," katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan menaiki Transit Aliran Massa (MRT) dari Stesen Kajang ke KL Sentral hari ini dengan transit di Stesen Pasar Seni.

Azmi berkata kekerapan perkhidmatan LRT juga masih sama seperti sebelum penularan Covid-19 iaitu setiap tiga minit manakala MRT akan bergerak setiap empat minit pada waktu puncak namun akan dinilai semula berdasarkan perkembangan semasa.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan semula PKP di Selangor, membabitkan enam daerah iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang bermula hari ini hingga 17 Mei, manakala di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai esok hingga 20 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 1:19 PM