Foto hiasan
Foto hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor bermula esok dan Kuala Lumpur berkuat kuasa Jumaat menyebabkan beberapa jalan utama sesak teruk hari ini.

Kesesakan dilaporkan berlaku sejak tengah hari tadi berikutan ramai individu membuat persiapan terakhir bagi menghadapi PKP dan perayaan Aidilfitri.

Antara laluan utama yang dilaporkan sesak ialah Lebuhraya Persekutuan dari Klang menghala ke Kuala Lumpur dan dari pusat bandar raya menghala ke Shah Alam.

Beberapa jalan di ibu kota turut sesak antaranya di Jalan Tun Razak, Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Lingkaran Tengah 2, Jalan Lapangan Terbang Subang, Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Jalan Duta-Sungai Buloh dan Lebuhraya Damansara-Puchong.

Pengguna jalan raya turut memuat naik beberapa status memaklumkan kesesakan di kawasan berkenaan.

Seorang pengguna Twitter dikenali Mohd Hafiz berkata, dia yang bekerja di Bahagian Sumber Manusia memaklumkan tempoh sehari tidak mampu menyiapkap tugasan yang tertangguh.

"Hari ini banyak jalan sesak, kami perlu sediakan surat buat 200 kakitangan, petang tadi baru terima maklumat kakitangan di Kuala Lumpur juga perlukan surat pengesahan.

"Jalan pula sesak untuk serahkan kepada semua cawangan, baju raya juga tidak sempat dibeli," ciapnya.

Terdahulu, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor bermula 6 Mei sehingga 17 Mei.

PKP turut dilaksanakan di Kuala Lumpur serta beberapa daerah dan mukim di Terengganu, Johor dan Perak bermula 7 hingga 20 Mei ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 9:17 PM