GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 609,539 individu melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau menerusi akaun Twitternya, hari ini, berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 960,070 individu yang menerima dos pertama, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 1,569,609 dos setakat, semalam.

Menurut infografik dikongsikan beliau, lima negeri menerima suntikan dos pertama tertinggi ialah Selangor dengan 128,840 dos, Sarawak (94,488), Kuala Lumpur (93,115), Johor (85,646) dan Perak (79,933).

Lima negeri melengkapkan dua dos suntikan Covid-19 tertinggi pula ialah Selangor dengan 82,150 diikuti Sarawak (63,772), Kuala Lumpur (61,768), Johor (55,052) dan Sabah (53,323).

Sementara itu, setakat semalam, 40.4 peratus atau 9,803,586 individu mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi sebanyak 2,517,009 individu iaitu 52 peratus.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula pada April hingga Ogos pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya, manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 7:28 PM