Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis masih belum menerima laporan daripada penghantar makanan yang dipercayai terbabit pergaduhan dengan pelawak popular, Lan Pet Pet yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, keterangan lelaki itu akan membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian.

"Setakat ini, polis belum terima laporan penghantar makanan itu.

"Kita juga minta individu yang merakam insiden terbabit juga tampil bagi membantu siasatan. Kes masih tiada tindakan lanjut (NFA) kerana tiada laporan daripada penghantar makanan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Ashari dilaporkan mengesahkan Lan Pet Pet sudah tampil membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 1 Mei lalu, jam 6.30 petang, yang mana video berdurasi 23 saat itu menunjukkan artis terbabit berselisih faham dengan seorang penunggang syarikat penghantar makanan di hadapan kedutaan Russia.

Pergaduhan itu dikatakan tercetus akibat selisih faham di jalan raya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 5:02 PM