Kesemua kru yang bekerja di pelantar penggerudian Naga 7 disahkan selamat. FOTO MELVIN JONI
Kesemua kru yang bekerja di pelantar penggerudian Naga 7 disahkan selamat. FOTO MELVIN JONI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Penanda 'virtual buoy' dipasang di kawasan pelantar minyak Velesto Naga 7 yang tenggelam di perairan Miri bagi memastikan komuniti perkapalan tidak menggunakan laluan itu ketika ini.

Pelantar minyak berkenaan tenggelam di 139 batu nautika dari Miri pada jam 2.45 petang, Isnin lalu.

Jurucakap Jabatan Laut Malaysia berkata, satu pasukan penyiasat ditubuhkan oleh Jabatan Laut Wilayah Sarawak bagi menjalankan siasatan lanjut punca kejadian itu.

"Ketika kerja `pre-loading' dilakukan, salah satu kaki pelantar minyak Velesto Naga 7 milik Velesto Energy Berhad telah `punctured through' sekali gus menyebabkan kedudukan pelantar itu condong dari kedudukan asal.

"Susulan kejadian itu, Notice to Marines (NTM) dan juga pemakluman melalui NAVTEX berkenaan situasi semasa pelantar minyak berkenaan telah dilakukan oleh Jabatan Laut Wilayah Sarawak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seramai 101 kru meninggalkan pelantar minyak itu menggunakan kapal OSV Perdana Marathon dan Armada Tuah 305 sebelum pelantar itu tenggelam pada kedalaman hampir 100 meter.

"Seramai 85 kru pelantar selamat tiba di Jeti Serimas, Miri pada jam 10 pagi semalam yang telah dibawa oleh kapal FCB Centus Eight dan sedang menjalani kuarantin wajib COVID-19 selama 14 hari.

"Baki 16 kru lagi dibawa oleh kapal MV Tegas Maju ke Jeti Serimas jam 10.35 pagi hari ini dan sudah didaftarkan untuk dibawa menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di Miri," katanya.

Katanya lagi, ketika ini pihaknya dimaklumkan bahawa semua kru selama dengan tiada sebarang kecederaan dan tiada tumpahan minyak dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 2:39 PM