NOR Hisham bersama isterinya, Suhana menyusun pelbagai jenis kerepek dan kuih raya yang dijual di Pasar Awam Kuala Klawang. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
NOR Hisham bersama isterinya, Suhana menyusun pelbagai jenis kerepek dan kuih raya yang dijual di Pasar Awam Kuala Klawang. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: "Beratus pemandu bas pelancong hilang pekerjaan akibat Covid-19. Malah tempahan diterima agensi pelancongan amat berkurangan dan menjejaskan sumber pendapatan kami," ujar pemandu bas pelancong, Nor Hisham Hashim, 42.

Menurutnya, dia hanya menerima dua tempahan untuk membawa rombongan pelancong ke Melaka dan Terengganu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan awal tahun ini.

"Sepanjang tempoh tidak bekerja sebagai pemandu bas, saya hanya membantu isteri, Suhana Abd Rahman, 40, berniaga makanan di Pasar Awam Kuala Klawang.

"Mujur isteri saya pandai berdikari dan berniaga makanan. Dia memahami situasi yang saya dialami malah gembira kerana mempunyai pembantu," katanya yang menetap di Kuala Klawang di sini.

Nor Hisham ketika ditemui berkata, sepanjang Ramadan ini, dia dan isteri tidak menjual makanan sebaliknya menjual pelbagai kerepek dan kuih raya.

Katanya dia gembira berikutan perniagaan dilakukan bersama isteri itu mendapat sambutan baik daripada orang ramai.

"Mungkin ada hikmahnya PKP ini kerana saya banyak menghabiskan masa bersama keluarga berbanding sebelum ini. Malah saya dapat menjalani ibadah puasa bersama tiga anak berusia dari tiga hingga 15 tahun," katanya.

Sementara itu Suhana berkata, dia gembira apabila suaminya itu menjadi pembantu apabila berniaga di Pasar Awam Kuala Klawang.

Katanya, anak-anak juga gembira kerana ayah mereka kerap berada di rumah berbanding ketika menjadi pemandu bas pelancong.

"Biarpun pendapatan suami terjejas, rezeki daripada berniaga yang diterima masih lagi dapat menampung kehidupan kami. Namun sekiranya keadaan pulih dan suami mahu memandu lagi, saya akur dengan tuntutan kerjanya itu," katanya.

Dalam sidang akhbar Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tadi, beliau memaklumkan kerajaan menggantung kebenaran rentas negeri melalui Gelembung Pelancongan Bersasar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke PKPP menggunakan agensi pelancongan berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, keputusan melaksanakan kembali program akan diumumkan kemudian.

Katanya, langkah itu dilakukan berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 9:58 PM