GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kumpulan jenayah terancang, Geng Nantha Kumar yang terbabit dalam samun berkumpulan dan pecah rumah sejak 2017 akan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Khamis ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata suspek terdiri daripada 10 individu termasuk dan kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada 27 April lalu.

Menurutnya, polis menjalankan Op Fulica bermula Disember 2017 menjurus kepada beberapa kejadian jenayah serius yang berlaku sejak tahun ini hingga tahun lalu.

"Hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kotinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14), JSJ Bukit Aman, berjaya mengenal pasti kumpulan jenayah yang dianggotai beberapa lelaki dan diketuai seorang lelaki yang dikenal pasti.

"Kumpulan ini terbabit dengan beberapa kes samun berkumpulan dan pecah rumah. Bertindak atas maklumat, polis melakukan serbuan terhadap kumpulan ini pada 9 April lalu dan berjaya menahan tujuh suspek.

"Kesemua tangkapan berusia antara 23 tahun hingga 38 tahun yang berasal dari Ipoh, Sungai Siput dan Pulau Pinang. Berdasarkan rekod jenayah lampau, semua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah kekerasan dan dadah," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mior Faridalathrash berkata polis juga mengenal pasti tiga suspek yang dipercayai ahli kumpulan itu yang kini berada di Penjara Koreksional Johor atas kesalahan mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1967.

"Bagi membendung kumpulan ini daripada berleluasa, peruntukan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dilaksanakan dengan siasatan adalah mengikut Seksyen 130V Bab VI B Kanun Keseksaan.

"Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun namun tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan," katanya.

Menurutnya, semua suspek direman 28 hari bermula 10 April lalu hingga 7 Mei ini mengikut peruntukan Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 9:32 PM