PENJAJA melakukan provokasi ke atas penguatkuasa DBKL di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), semalam.
PENJAJA melakukan provokasi ke atas penguatkuasa DBKL di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), semalam.
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat laporan polis susulan tindakan penjaja tanpa kebenaran yang melakukan provokasi ke atas penguatkuasanya di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), semalam.

Bagaimanapun, kejadian yang berlaku pada 12.15 tengah malam itu tidak menyebabkan tindakan sita dilaksana.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, DBKL menjelaskan penjaja tanpa kebenaran itu dikesan penguat kuasa ketika membuat rondaan di sekitar Jalan TAR selepas mendapat aduan awam mengenai kewujudan mereka.

"Mereka berniaga di luar waktu dibenarkan iaitu melebihi 12 tengah malam dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Anggota kemudian menasihati penjaja tanpa kebenaran itu dan meminta mereka beredar.

"Bagaimanapun, peniaga berkenaan enggan beredar, malah mula membuat provokasi terhadap anggota bertugas," kata kenyataan itu.

Kenyataan menyebut ada antara peniaga itu yang sengaja memukul 'roller shutter' premis perniagaan berhampiran, selain menghambur kata-kata kesat.

Tindakan mereka berniaga di situ menjejaskan peniaga lain yang sudah mempunyai lesen untuk menjual di lokasi sama, selain pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bakal mengundang pelbagai masalah.

"Untuk itu satu laporan polis telah dibuat mengenainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 9:24 PM