GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


Ipoh: Seramai 11 pengunjung bazar Ramadan di negeri ini termasuk seorang perempuan dikompaun RM2,000 setiap seorang kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Ramadan ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mereka berusia 17 hingga 60 tahun didapati melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka dan tidak menulis nama atau imbasan kod QR.

"Empat individu dikompaun di bazar Ramadan OCBC Teluk Intan, bazar Ramadan Kampung Bahagia, Teluk Intan (2), bazar Ramadan Taman Seri Sentosa, Ayer Tawar di Manjung (2) dan bazar Ramadan Bandar Pulai Jaya, Ipoh (1).

"Manakala masing-masing seorang dikompaun di bazar Ramadan Chandan Desa, Ipoh dan bazar Ramadan Kampar.

"Tidak memakai pelitup muka mencatatkan kesalahan tertinggi iaitu sembilan individu dikompaun," katanya selepas pemantauan SOP Covid-19 dan Program High Profile Policing bersama peniaga bazar Ramadan Stadium Perak ,di sini, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 155 kompaun dikeluarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 19 Mac lalu hingga semalam dengan kadar pematuhan 96 peratus.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 9:11 PM