Amran Hazali (kiri) menerima Zakat Perniagaan daripada Maybank Islamic Berhad yang disampaikan Pengarah Maybank Berhad, Maybank Wilayah Utara, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, Zolkelfi Awang di Ibu Pejabat ZPP, Bandar Perda, Bukit Mertajam. FOTO Nur Izzati Mohamad
Amran Hazali (kiri) menerima Zakat Perniagaan daripada Maybank Islamic Berhad yang disampaikan Pengarah Maybank Berhad, Maybank Wilayah Utara, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, Zolkelfi Awang di Ibu Pejabat ZPP, Bandar Perda, Bukit Mertajam. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengagihkan zakat Saguhati Nur Ramadan dan Aidilfitri bagi tahun ini berjumlah hampir RM7.32 juta kepada seramai 24,072 penerima terdiri daripada asnaf fakir dan miskin.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali, berkata daripada jumlah itu pihaknya mengagihkan hampir RM3.051 juta bagi Saguhati Nur Ramadan manakala selebihnya adalah Saguhati Aidilfitri.

"Harapan kita agihan zakat berbentuk saguhati ini dapat meringankan beban golongan sasaran ketika menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba nanti," katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima Zakat Perniagaan daripada Maybank Islamic Berhad berjumlah RM209,519.81 di Ibu Pejabat ZPP, Bandar Perda, di sini, hari ini

Mengulas lanjut, Amran berkata, laporan kutipan zakat bagi suku tahun pertama iaitu 1 Januari hingga 3 Mac 2021 mencatatkan hampir RM28.3 juta.

Jelasnya, jumlah kutipan itu meningkat hampir sekali ganda berbanding tahun lalu iaitu RM18.312 juta bagi tempoh sama.

"Selain itu, jumlah pembayar zakat terkumpul bagi suku tahun pertama ini juga bertambah sebanyak 5,792 orang iaitu daripada 53,690 orang tahun lalu kepada 59,482 orang tahun ini.

"Pertambahan ini dilihat cukup positif dalam usaha kita mencapai sasaran kutipan zakat bagi tahun ini berjumlah RM136 juta termasuk zakat fitrah," katanya.

Dalam pada itu, Amran berkata, ZPP turut mengalu-alukan syarikat korporat menjalankan tanggungjawab dengan membayar zakat perniagaan.

"Pada hari ini, kita berterima kasih kepada Maybank Islamic Berhad yang mengambil keberkatan Ramadan melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Kita berharap lebih banyak syarikat korporat lain dapat tampil berbuat demikian dalam bulan yang mulia ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 8:46 PM