ZAILANI ketika majlis berbuka puasa Program 75 Tahun JPJ Bersama Media. FOTO Aziah Azmee
ZAILANI ketika majlis berbuka puasa Program 75 Tahun JPJ Bersama Media. FOTO Aziah Azmee
Nurul Hidayah Bahaudin


Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip sebanyak RM3.147 juta bayaran kompaun membabitkan 45,317 saman sepanjang tempoh pengurangan bayaran saman sebanyak 70 peratus yang bermula 13 April hingga 1 Mei lalu.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata, semua bayaran itu membabitkan 30,744 pesalah dan 29,002 kenderaan di seluruh negara sepanjang tempoh berkenaan.

"Tawaran berkenaan diberikan kepada semua notis saman dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Perlesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-Kaedah dan Perintah-Perintah di bawahnya termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

"Orang ramai disarankan supaya mengambil kesempatan untuk menjelaskan notis saman melalui tawaran ini yang bermula sejak 13 April lalu hingga pada 11 Jun nanti iaitu selama 60 hari tempoh perlaksanaannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Sambutan Jubli Platinum 75 tahun bersama Media di Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.

Dalam majlis berkenaan, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Badan Khairat Kematian JPJ (BAQA) dengan Sukarelawan Amal Team.

"Sebagai tanda komitmen untuk mengukuhkan BAQA, kami turut melancarkan Kempen Ke Arah Kecapaian 10,000 Ahli Menjelang 2025.

"Selain itu, hasil sumbangan daripada seluruh warga JPJ akan disumbangkan kepada ahli keluarga warga jabatan ini yang meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut memberikan pengecualian bayaran 100 peratus fi lesen kenderaan motor (LKM) bagi kabin pengurusan jenazah Sukarelawan Amal Team.

"Selain van jenazah ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang memberi khidmat kebajikan kepda masyarakat boleh memohon bagi mendapatkan pengurangan atau pengecualian fi LKM.

"Terdapat tiga kategori pengecualian dan pengurangan bayaran fi LKM iaitu 100 peratus bagi kenderaan NGO membabitkan van jenazah, 70 peratus bagi kenderaan dimiliki oleh persatuan amal, rumah anak-anak yatim dan lain-lain serta 50 peratus bagi kenderaan dimiliki oleh rumah ibadat atau persatuan.

"Berdasarkan statistik bagi tempoh 2019 hingga April lalu, sebanyak 475 kenderaan memohon bagi mendapatkan pengecualian dan pengurangan bayaran fi LKM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 8:36 PM