GAMBAR fail. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Eratkan Perpaduan Antara Negeri Cetuskan Organisasi (Epanco) meminta tiada double standard dalam penguatkuasaan undang-undang.

Pengerusinya, Ariffin Abu Bakar berkata, sepatutnya double standard di dalam penguatkuasaan undang-undang tidak berlaku kerana semua rakyat tertakluk kepada peraturan yang sama.

Dalam perkembangan hari ini, beliau berkata, sepatutnya artis atau selebriti tidak kebal daripada undang-undang dan mereka bukanlah menjalankan urusan rasmi bagi pihak kerajaan.

"Memanglah orang marah dengan anggota kabinet yang berada di banyak lokasi, tapi perlu difahami, ia adalah atas urusan rasmi dan mereka berhak.

"Tetapi golongan artis bukanlah istimewa sangat sampai tidak boleh diambil tindakan, begitu juga instafamous atau lain-lain.

"Kalau mereka lepas, saya rasa ada juga aktivis masyarakat yang mempunyai pengikut ratusan ribu, wajar dibenarkan untuk merentas negeri," katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, Epanco mencadangkan saman dikeluarkan tanpa kompromi kepada mereka yang didapati sengaja melanggar larangan rentas negeri sebagai pengajaran.

"Selain itu, bagi yang didapati melakukan kesalahan berulang, pihak berwajib disaran menggantung lesen mereka untuk satu tempoh tertentu sebagai pengajaran.

"Tindakan senarai hitam pemandu juga difikirkan wajar dalam usaha memastikan tiada yang sengaja merentas negeri dan melanggar undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 8:26 PM