SYEIKH Fadzil (kanan) menyerahkan dua ekor ayam kepada asnaf di daerah Sik sempena Program Infak Aidilfitri LZNK di perkarangan Masjid Namek. FOTO Noorazura Abdul Rahman
SYEIKH Fadzil (kanan) menyerahkan dua ekor ayam kepada asnaf di daerah Sik sempena Program Infak Aidilfitri LZNK di perkarangan Masjid Namek. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

Sik: "Terima kasih Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) kerana memberi dua ekor ayam kepada saya, ia akan menjadi hidangan berbuka selama seminggu," kata Abdullah Hassan, 64.

Abdullah berkata, sumbangan itu sangat bermakna untuk dirinya kerana pendapatan kira-kira RM200 sebulan sebagai penoreh getah menyukarkan dia menikmati hidangan ayam.

Katanya, wang bantuan RM200 sebulan daripada LZNK pula perlu digunakan untuk membeli peralatan seperti tiub dan plastik membuang najis melalui perut kerana dia mengalami masalah usus lebih 10 tahun lalu.

"Saya guna wang zakat untuk berulang alik membayar duit tambang bas dan teksi bagi membeli peralatan rawatan diri di Pulau Pinang setiap bulan.

"Saya hidup seorang diri kerana tidak pernah berkahwin. Di rumah tiada bekalan elektrik dan saya guna bekalan air bukit sejak dulu lagi," katanya yang menetap di Kampung Belimbing, di sini.

Ketika ditanya bagaimana dia akan menyimpan dua ekor ayam yang diterima, Abdullah berkata ayam itu akan terus dimasak dan dipanaskan setiap hari.

"Saya tiada bekalan elektrik apatah lagi peti ais, jadi saya akan terus panaskan makanan supaya tidak basi. Setiap hari saya hanya berbuka ala kadar sahaja, tetapi kali ini saya gembira kerana dapat menikmati ayam.

"Saya bersyukur dengan rezeki ini, kadang-kadang terputus bekalan beras dan terpaksa berhutang di kedai sementara menunggu hasil jualan getah sekerap," katanya.

Abdullah antara 1,719 keluarga asnaf di tiga daerah di negeri ini yang menerima sumbangan ayam segar bernilai keseluruhan RM46,413 di bawah Program Infak Aidilfitri LZNK yang berlangsung di Masjid Namek, hari ini.

Hadir bagi menyerahkan sumbangan adalah Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman.

Sementara itu, Zakaria berkata sumbangan itu diberikan kepada asnaf di Sik, Pendang dan Padang Terap sebagai persediaan mereka menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Katanya, program yang pertama kali diperkenalkan LZNK itu membuka peluang kepada orang ramai untuk memberi sumbangan ketika Ramadan.

"Mungkin bagi kita dua ekor ayam itu kecil nilainya, namun bagi asnaf nilainya sangat besar, jadi kepada orang ramai yang mahu menyumbang kita masih terima sumbangan melalui Asnaf Care sehingga 10 Mei ini.

"Selain itu, pada majlis ini juga seramai 166 keluarga asnaf turut menerima wakalah zakat daripada Tabung Haji sebanyak RM300 seorang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 7:30 PM