GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sambutan Aidilfitri di Sarawak dibenarkan dirayakan selama tujuh hari bermula 1 hingga 7 Syawal.

Bagaimanapun, jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, kehadiran dihadkan hanya untuk ahli keluarga terdekat sahaja.

Menurutnya, garis panduan prosedur operasi standard (SOP) terperinci berhubung sambutan Aidilfitri boleh didapati di laman rasmi Majlis Islam Sarawak (http://www.mis.sarawak.gov.my).

Sementara itu, beliau berkata Sarawak mencatatkan 620 kes positif baharu Covid-19 hari ini.

"Sejumlah 64 peratus daripada kes hari ini dikesan di Bintulu, Miri, Kapit, Sibu dan Bukit Mabong," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bintulu mencatat kes tertinggi dengan 128 kes diikuti Miri (82), Kapit (81), Sibu (55), Bukit Mabong (51), Kanowit (42), Sri Aman (27), Belaga (26), Kuching (18), Beluru (16), Lundu (12), Subis (12), Saratok (11), Tebedu (10), Song (7), Pakan (6), Sarikei (5), Sebauh (5), Tatau (4), Betong (4), Selangau (4), Bau (4), Mukah (3), Meradong (2), Dalat (2), Tanjung Manis (2) dan Serian (1).

"Dengan 620 kes yang dilaporkan hari ini, keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak kini meningkat kepada 32,667 kes," katanya.

Wabak itu turut meragut empat nyawa di Sarawak hari ini menjadikan keseluruhan jumlah korban sejak Mac tahun lalu hingga kini seramai 188 orang.

Dua daripada mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Bintulu, manakala masing-masing satu kes di Hospital Miri dan Hospital Sibu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 7:04 PM