Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Gelembung perjalanan domestik membabitkan aktiviti pelancongan yang memerlukan merentas negeri digantung sementara berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, aktiviti pelancongan yang tidak memerlukan rentas negeri masih boleh diteruskan.

"Kita sudah umumkan mengenai aktiviti merentas negeri tidak dibenarkan termasuk aktiviti pelancongan daripada negeri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke negeri PKPP melalui gelembung perjalanan domestik.

"Mulai sekarang mesyuarat bersetuju supaya gelembung perjalanan digantung sementara dan akan diteruskan apabila sampai masanya nanti," katanya dalam sidang media khas, hari ini.

GAMBAR hiasan. Lebuhraya Pantai Timur. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. Lebuhraya Pantai Timur. FOTO Bernama

Ismail Sabri berkata, aktiviti pelancongan dalam negeri masih boleh diteruskan seperti biasa.

"Arahan ini hanya tertakluk kepada aktiviti pelancongan yang memerlukan mereka merentas negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 6:11 PM