RAKAMAN video yang tular. FOTO tular
RAKAMAN video yang tular. FOTO tular
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis sudah menerima laporan dibuat pelawak popular, Lan Pet Pet berhubung pergaduhan membabitkan dia dengan pekerja syarikat penghantar makanan yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, setakat ini, polis hanya menerima laporan daripada pelawak terbabit sementara penunggang motosikal itu masih belum tampil.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 1 Mei lalu, jam 6.30 petang, yang mana video berdurasi 23 saat itu menunjukkan artis terbabit berselisih faham dengan seorang penunggang syarikat penghantar makanan di hadapan kedutaan Russia.

"Pergaduhan itu dikatakan tercetus akibat selisih faham di jalan raya.

"Polis meminta kerjasama individu yang terbabit untuk tampil membuat laporan supaya siasatan dapat dijalankan," katanya.

Selain itu, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Harian Metro hari ini melaporkan video Lan Pet Pet memukul seorang lelaki dipercayai penghantar makanan menarik perhatian netizen selepas tular di media sosial sejak malam tadi.

Menerusi video yang dirakam pengguna jalan raya itu, pelawak dan pelakon dari kumpulan Senario itu dilihat merangkul leher lelaki terbabit dan memukul kepalanya.

Dalam masa sama, Lan turut ditenangkan oleh tiga lagi lelaki daripada terus memukul lelaki itu dalam kejadian yang berlaku di tepi jalan raya itu.

Dalam keadaan marah, Lan turut menjerit dengan kata-kata berbaur amaran, 'Hang duduk Tropicana nak tunjuk samseng kat aku. Hang tau dak aku sapa?'

Sebelum ini, Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, 51, mencetuskan kegemparan ramai apabila memukul seorang pengawal keselamatan, Yahya Manap atau Pak Ya, 71, pada 6 April 2019.

Dia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban pada 15 April 2019 selepas mengaku bersalah terhadap perbuatan yang dilakukan di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan.

Berita berkaitan

Apahal Lan Pet Pet tu? [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 4:58 PM