JAFRI Zainee dan Shekh Mohd Hakimie. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
JAFRI Zainee dan Shekh Mohd Hakimie. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Terengganu: Rata-rata ibu bapa di negeri ini menyambut baik dan bersetuju dengan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memansuhkan peperiksaan awam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Mereka menyifatkan keputusan diambil KPM tepat dan bersesuaian dengan situasi sekarang ketika negara berhadapan pandemik Covid-19.

Jafri Zainee Abdul Ghani, 52, dari Kampung Pasir Panjang berkata, dia menyokong sepenuhnya keputusan KPM memansuhkan UPSR bermula tahun ini.

"Memang patut UPSR itu dimansuhkan malah ia wajar dimansuhkan sejak dulu lagi kerana anak seawal usia tujuh tahun sudah diberikan tekanan untuk belajar oleh ibu bapa.

"Sepatutnya pada usia tujuh tahun mereka perlu belajar banyak perkara lain dalam kehidupan tetapi dipaksa fokus kepada pelajaran sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, kebanyakan kanak-kanak kehilangan waktu bermain mereka kerana perlu hadir ke kelas tambahan dan sebagainya seawal usia enam hingga tujuh tahun

"Apabila KPM mengambil keputusan memansuhkan UPSR, ibu bapa lega kerana anak tidak lagi tertekan.

"Maklumlah sejak pandemik Covid-19, anak kerap tidak ke sekolah dan hanya belajar melalui Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Belajar melalui PdPR tak sama dengan belajar secara bersemuka dengan guru di dalam kelas, akhirnya banyak sukatan pelajaran tak dihabiskan," katanya yang bekerja sebagai pegawai bank.

Menurutnya, keputusan KPM memang sesuai dengan keadaan sekarang dan sekiranya UPSR tetap dijalankan kebarangkalian ramai calon yang tidak mendapat keputusan memuaskan atau gagal.

NUR Aqila. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
NUR Aqila. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

Anaknya, Nur Aqila, 12, dari Sekolah Kebangsaan Seri Budiman berkata, dia tidak lagi rasa tertekan apabila UPSR dimansuhkan.

"Rasa sangat tertekan apabila memikirkan UPSR, maklumlah persediaan rapi tidak dibuat seperti sepatutnya.

"Masih banyak sukatan pelajaran yang tidak habis dan mungkin tidak sempat dihabiskan kerap sesi sekolah ditangguhkan kerana pendamik Covid-19," katanya.

Shekh Mohd Haqimie Shekh Husain, 37, dari Kampung Panji Alam pula bersyukur kerana KPM mengambil keputusan bijak memansuhkan UPSR.

"Memandangkan kita berdepan musim Covid-19 yang tidak menentu, guru dan murid sememangnya tidak sempat untuk menghabiskan silibus mata pelajaran untuk peperiksaan.

"Bagi saya pemansuhan itu dibuat pada waktu yang tepat kerana tidak membebankan guru dan murid," katanya.

SITI Aisyah Humairah. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
SITI Aisyah Humairah. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

Anaknya, Siti Aisyah Humairah, 12, dari Sekolah Madrasah Darul Quran berkata, dia membuat persiapan untuk menghadapi UPSR sejak di tahun empat.

"Saya memang buat persediaan awal tetapi tetap tidak yakin untuk menduduki UPSR kerana masih banyak sukatan pelajaran yang tidak dihabiskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 8:10 PM