FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Petani di negeri ini diminta berhati-hati ketika membeli benih padi berikutan terdapat benih padi tidak sah dikesan dijual di sebuah premis perniagaan di Jalan Sanglang, Kubang Pasu baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perniagaan Peladang MADA Sdn Bhd (MADACorp), Mohamad Anuar Pir Mohamad berkata, sebanyak 76 kampit benih padi seberat 1.5 tan disyaki tidak sah dirampas di premis terbabit hasil serbuan pasukan pegawai penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kedah pada Rabu lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak empat kampit benih padi didapati menggunakan label keluaran MADACorp.

"Hasil daripada siasatan MADACorp mengesyaki benih padi itu adalah palsu selepas butiran cetakan di tag biru (kod kawalan) yang dikepilkan adalah palsu, manakala kesahihan isi kandungan beg berkenaan juga diragui.

"Ini kerana nombor siri pada tag biru berkenaan menggunakan nombor siri yang tidak diperuntukkan kepada MADACorp untuk tahun ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Anuar berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu bagi membolehkan tindakan undang-udang akan diambil oleh pihak syarikat terhadap pemilik premis terbabit.

Katanya, perbuatan itu dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan ke atas permintaan tinggi benih padi yang berkualiti keluaran MADACorp.

"Setiap kampit benih padi seberat 20 kilogram itu dijual dengan harga antara RM45 hingga RM55. Perlu diingatkan mulai tahun ini, benih padi sah hanya dibekalkan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) untuk edaran kepada petani melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sahaja.

"Tiada urus niaga jualan benih padi secara terus dilakukan selain daripada Nafas," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Anuar berkata beliau sangat berterima kasih kepada pemberi maklumat dan petani yang prihatin menyalurkan maklumat sehingga berjaya mengesan kegiatan terbabit.

Pada 20 April lalu, media melaporkan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) mendakwa berlaku masalah kelewatan benih padi sah ketika ini, sehingga menjejaskan musim tanaman baharu ke atas sebahagian besar petani.

Pengerusinya Fuad Yaacob, dipetik berkata, pengedar tunggal benih iaitu Nafas masih gagal membekalkan benih padi sah ke sebahagian besar kawasan tanaman di Semenanjung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 3:41 PM