FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Malaysia masih meneruskan pengimportan daging sejuk beku dari India biarpun berlaku lonjakan jangkitan Covid-19 di negara berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, setakat ini kerajaan belum memutuskan sama ada mahu menyekat pengimportan daging sejuk beku negara itu.

Sebaliknya, katanya, prosedur import daging sejuk beku ke Malaysia sentiasa diperketatkan bagi menangani sebarang isu keraguan terhadap bekalan berkenaan.

"Kita masih benarkan pengimportan daging sejuk beku. Namun ia hanya daripada sumber rumah sembelih yang diluluskan di India," katanya di sini, hari ini.

Kementerian Kesihatan sebelum ini melaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum mengeluarkan laporan berhubung jangkitan Covid-19 menerusi daging sejuk beku seperti yang ditemui oleh penyelidik China.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilapor berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu, selepas verifikasi daripada WHO.

"Setakat ini, tidak ada jangkitan Covid-19 daripada daging sejuk beku yang diimport ke negara kita," katanya.

Kemboja semalam memutuskan untuk melarang import daging beku dan produk daging dari India, sebagai usaha bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di negara rantau Asia Tenggara.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam dan Eksais Kemboja (GDCE) Kun Nhim dalam kenyataan berkata, larangan itu berkuat kuasa serta-merta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 3:26 PM