Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Mandi dan membasuh pakaian di ruang terbuka menggunakan air dari telaga tiub manakala membuang air pula di dalam semak berhampiran kerana tiada tandas.

Tidak cukup dengan itu, rumah dihuni lapan beranak dari Kampung Che Latif, di sini, tidak layak dijadikan kediaman dengan sebahagian besarnya tidak berdinding, sebaliknya hanya ditutup dengan kanvas dan dibina menggunakan kayu terpakai.

Tanpa kelengkapan asas selain dapur masak, televisyen dan kipas angin, rumah itu didiami Zurazulfidah Ahmad, 34, bersama suami, Askandar Daud@Yasin, 36, serta enam anak mereka berusia 15 bulan hingga 14 tahun sejak empat bulan lalu.

Zurazulfidah berkata, mereka sebelum ini menetap di rumah sendiri tidak jauh dari kawasan itu, namun diminta berpindah kerana tuan tanah ingin membina rumah sebelum mencadangkan mereka membina kediaman di lokasi terkini memandangkan tanah itu milik kerajaan.

"Suami bekerja sebagai tukang rumah dan atas kepakaran tidak seberapa, dia membina rumah ini menggunakan kayu terpakai dan binaannya tidak sempurna, namun masih mampu meneduhkan kami lapan beranak.

"Setiap kali hujan, kami akan berhimpit di tengah rumah kerana kawasan sekeliling dibasahi air tempias melalui lubang yang tidak ditutup dengan kanvas," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

KEADAAN dapur rumah dihuni lapan beranak. FOTO SITI ROHANA IDRIS
KEADAAN dapur rumah dihuni lapan beranak. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Zurazulfidah berkata, mereka pernah terfikir untuk menyewa rumah lain demi keselesaan, namun mengenangkan suaminya hanya menerima upah antara RM20 hingga RM30 sehari, hasrat itu terpadam.

Katanya, bukan sahaja tidak mampu menyediakan kediaman selesa, malah pendapatan itu adakalanya tidak mampu menampung kelangsungan hidup mereka yang sering terputus bekalan makanan.

"Terputus beras dan lauk perkara biasa buat kami dan sebagai ganti, saya akan membuat lempeng untuk hidangan kami sekeluarga, malah semua anak sangat memahami kedaifan kami dan tidak pernah merungut.

"Suami sering menasihati agar kami tidak meminta-minta dan makan sahaja apa yang ada, bagaimanapun ada beberapa rakan sedia maklum kesusahan kami dan kerap tampil menghulurkan bantuan makanan," katanya.

Terdahulu mereka menerima kunjungan rombongan daripada syarikat pembekal kereta import, Mayazia Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Khairul Othman bersama kumpulan aktivis masyarakat Cempaka Merah Asnaf Society.

Khairul berkata, pihaknya akan membaik pulih rumah itu dan cuba melengkapkan kediaman berkenaan dengan beberapa kelengkapan rumah termasuk perabot dan peti sejuk.

RUMAH dihuni lapan beranak yang dibina menggunakan kayu terpakai dan sebahagian besarnya tidak berdinding, sebaliknya hanya ditutup dengan kanvas sahaja. FOTO SITI ROHANA IDRIS
RUMAH dihuni lapan beranak yang dibina menggunakan kayu terpakai dan sebahagian besarnya tidak berdinding, sebaliknya hanya ditutup dengan kanvas sahaja. FOTO SITI ROHANA IDRIS

"Untuk hari ini kami menyampaikan makanan dan pakaian termasuk sumbangan kewangan bagi meringankan beban mereka sekeluarga," katanya.

Kepada yang ingin membantu, boleh salurkan sumbangan menerusi Bank Islam milik Zurazulfidah iaitu 03036020540032 atau menghubunginya di talian 01126318280.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 2:35 PM