Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan tidak bercadang untuk membeli vaksin berikutan ia membabitkan kos tinggi.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, mungkin negeri seperti Sarawak boleh membeli vaksin berkenaan.

"Kelantan setakat ini mengambil pendekatan seperti negeri lain kerana ia membabitkan kos besar.

"Kami ambil pendekatan tunggu dan ikut pendaftaran seperti biasa," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin serta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, kerajaan negeri dibenarkan membeli vaksin sendiri.

SEBAHAGIAN pelajar yang dikesan positif Covid-19 ditempatkan di PKRC SMK Salor. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
SEBAHAGIAN pelajar yang dikesan positif Covid-19 ditempatkan di PKRC SMK Salor. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Khairy berkata, namun kerajaan negeri seperti kerajaan Selangor dan Sarawak yang berhasrat membeli sendiri bekalan vaksin itu harus memastikan ia berdaftar dengan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA).

Dalam perkembangan lain, Ahmad turut melahirkan kebimbangan berhubung peningkatan kes Covid-19 di Kelantan.

Katanya, setiap hari Kelantan mencatatkan kes tiga angka menjadikan negeri itu hampir setiap hari berada di kedudukan tiga tertinggi kes Covid-19.

"Memang kami bimbang daripada kebanyakan daerah hijau bertukar kepada merah. Tiada pendekatan lain melainkan semua rakyat berdisiplin dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Sehingga kini tahap SOP daripada segi penjarakan di lokasi tertentu seperti pasar masih lemah dan kami mengharapkan kerjasama semua pihak untuk memutuskan rangkaian Covid-19," katanya.

Pada masa sama, Ahmad berkata, setakat ini tiada perancangan untuk membuat 'lockdown' di negeri itu.

"Perkara itu akan diputuskan oleh kerajaan sekiranya ada keperluan dan negeri hanya mengikut arahan dikeluarkan.

"Terima kasih kepada petugas pasukan hadapan Covid-19 yang berkorban masa dan tenaga untuk mengharungi saat sukar serta mencabar ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 12:31 PM