GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 552,862 individu melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Dalam akaun Twitter hari ini beliau berkata, setakat semalam juga 895,204 individu menerima suntikan dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini berjumlah 1,448,066 dos.

Menerusi infografik Dr Adham berkata, lima negeri yang menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 120,749 dos, diikuti Sarawak (90,990), Kuala Lumpur (90,610), Johor (78,711) dan Sabah (73,403).

Menurutnya lima negeri yang melengkapkan dua dos suntikan COVID-19 tertinggi ialah Selangor dengan 74,962, diikuti Sarawak (56,374), Sabah (52,358), Perak (51,918) dan Kuala Lumpur (51,580).

Setakat semalam hanya 38.80 peratus atau 9,424, 263 daripada golongan sasaran telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi 2,443,778 diikuti Johor yang mencatatkan 1,167,672 pendaftaran.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula pada April hingga Ogos depan pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya, manakala fasa ketiga yang dijadualkan dari Mei hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 4:53 PM