Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) yang ketujuh mungkin bakal diwujudkan di Kelantan sekiranya peningkatan kes harian Covid-19 terus menunjukkan trend peningkatan.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, pihaknya kini dalam usaha untuk mengenal pasti tempat yang sesuai untuk dijadikan PKRC dan ianya perlu berada berhampiran dengan hospital induk Covid-19 iaitu Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan Hospital Tumpat untuk merawat pesakit Covid-19.

Katanya, dia amat berharap PKRC keenam yang dibuka di Kampus Kesihatan di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian yang akan mula digunakan pada 3 Mei ini adalah yang terakhir, namun ianya tidak ada noktah dan bergantung juga kepada trend semasa kes Covid-19 di negeri ini.

"Setakat ini, pihak kami ada meninjau beberapa lokasi yang sesuai sekiranya PKRC ketujuh akan dibuka. Antaranya ialah Kompleks Balai Islam Lundang, Dewan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Tanjong Chat dan Dewan Jubli Perak, Panji.

"Dalam tempoh tiga minggu berturut-turut kes harian Covid-19 di Kelantan mencatatkan tiga angka dan sehingga kini enam PKRC sudah diwujudkan bagi menempatkan pesakit, namun berharap ianya adalah PKRC terakhir yang dibuka.

"Penggunanaan katil di lima PKRC sudah mencapai tahap maksimum iaitu antara 70 hingga 100 peratus, manakala PKRC yang baharu di buka di Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian akan mula digunakan pada Isnin depan.

"Di PKRC Dewan USM Kubang Kerian kita menempatkan 500 katil dan ianya hanya dikhususkan kepada pesakit lelaki sahaja memandangkan kebanyakan pesakit yang disahkan Covid-19 adalah lebih ramai dalam kalangan lelaki," katanya kepada pemberita ketika meninjau persediaan PKRC di Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Dr Mohd Azman berkata, sekiranya PKRC yang ada sekarang tidak mampu menampung jumlah pesakit yang terlalu ramai, Perintah Pengasingan di Rumah (HIO) akan dikenakan kepada pesakit Covid-19 kategori satu dan dua, namun haruslah mempunyai ruang yang sesuai di dalam rumah sepanjang mereka menjalani tempoh kuarantin.

"Namun setakat ini kita mendapati kebanyakan pesakit tidak mempunyai ruang yang sesuai di dalam rumah ketika menjalani tempoh kuarantin seperti bilik dan tandas yang berasingan selain mempunyai anak kecil dan warga emas.

"Walau bagaimanapun, pesakit berusia 60 tahun ke atas yang menghidap penyakit kronik seperti buah pinggang dan jantung, mereka tidak sesuai berada di rumah sebaliknya perlu dibawa ke hospital untuk dipantau," katanya.

DR Mohd Azman (kanan) memantau persiapan di PKRC keenam di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian yang dijangka beroperasi 3 Mei 2021 dan mampu menempatkan 500 pesakit pada satu-satu masa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DR Mohd Azman (kanan) memantau persiapan di PKRC keenam di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian yang dijangka beroperasi 3 Mei 2021 dan mampu menempatkan 500 pesakit pada satu-satu masa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 12:21 PM