AL-SULTAN Abdullah. FOTO  Jabatan Penerangan.
AL-SULTAN Abdullah. FOTO Jabatan Penerangan.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar rakyat tidak terus alpa dan sambil lewa dengan arahan dan prosedur operasi standard (SOP) supaya jangkitan Covid-19 dapat dikawal sebaiknya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan kegusaran kes jangkitan harian Covid-19 di negara ini sudah mencecah 3,000 kes positif.

Katanya, baginda menyeru rakyat terus patuh kepada SOP di bazar, sekolah, keraian umum seperti majlis berbuka puasa dan kenduri.

"Seri Paduka Baginda juga mengingatkan rakyat supaya tidak hilang fokus dan sentiasa berwaspada demi kesihatan dan keselamatan diri, ahli keluarga dan masyarakat kesan daripada gelombang keempat Covid-19 yang jika berlaku boleh mengancam lagi ekonomi dan sosio ekonomi rakyat.

"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan kegusaran dengan penutupan sekolah di negara ini selain tahap pematuhan SOP di bazar dan majlis keraian di beberapa negeri yang masih belum mencapai tahap memuaskan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, baginda juga menzahirkan harapan agar rakyat melaksanakan tamggungjawab segera bagi mendapatkan rawatan jika bergejala dan mengasingkan diri sekiranya positif atau ditakrifkan sebagai kontak rapat.

Beliau berkata, rakyat perlu jujur pada diri sendiri dan masyarakat dengan mematuhi arahan kuarantin dan SOP bagi mengelak kemudaratan.

"Mengambil keberkatan Ramadan, Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk mendoakan negara sentiasa diberkati dan dilindungi daripada ancaman Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 3:58 PM