BERNAMA

Sepang: Mangga Harumanis kini boleh didapati di Sabah apabila penerbangan sulung membawa kira-kira setengah tan ikon Perlis itu berlepas ke negeri di bawah bayu semalam.

Penghantaran sulung mangga Harumanis menerusi penerbangan AirAsia AK5104 itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dijayakan melalui kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan dengan AirAsia Farm, anak syarikat AirAsia.

"Harumanis bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan 2,415 pengusahanya di Perlis, malah mempunyai impak yang besar terhadap ekonomi serta industri agro pelancongan dan rantaian bekalan di seluruh negara," kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ketika berucap pada majlis Flag Off Harumanis ke Sabah di Klia2 di sini, tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Group Tan Sri Tony Fernandes turut hadir pada majlis yang juga sebahagian daripada kempen 'Harumanis Kembali Lagi' yang dilancarkan pada 11 April lalu di Beseri, Perlis.

Ronald berkata, Jabatan Pertanian menyasarkan hasil pengeluaran mangga Harumanis di Perlis sebanyak 3,336 tan metrik bernilai RM66.7 juta pada tahun ini.

"Daripada jumlah itu, kira-kira 50 peratus akan dijual secara dalam talian melalui platform e-dagang seperti Airasia Food, AirAsia Fresh dan AgroBazaar online.

Sementara itu, Pengurus Besar AirAsia Farm, S.Lalitha berkata, penghantaran pertama Harumanis ke Sabah sebagai komoditi eksport adalah dengan memanfaatkan ekosistem dan teknologi kumpulan Airasia seperti Teleport, dan penggunaan platform e-dagang oleh AirAsia Food dan AirAsia Fresh.

Sebahagian daripada bungkusan Penghantaran Pertama Harumanis ke Sabah oleh AirAsia Farm di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Sebahagian daripada bungkusan Penghantaran Pertama Harumanis ke Sabah oleh AirAsia Farm di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL

Beliau berkata sinergi dengan pihak MAFI memungkinkan penghantaran mangga Harumanis ke Sabah dalam masa kurang dari 72 jam selepas tuaian bagi memastikan ia benar-benar segar dari ladang.

"Kami percaya teknologi dan digitalisasi bukan sahaja akan menambah nilai kepada sektor pertanian malah dapat menambah baik keseluruhan rantaian bekalan industri makanan negara daripada langkah pengeluaran, pengedaran kepada penggunaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 3:42 PM