VAKSIN AstraZeneca.
VAKSIN AstraZeneca.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak tidak akan menggunakan vaksin Covid-19 AstraZeneca meskipun Kerajaan Persekutuan menawarkannya bagi menampung keperluan program imunisasi.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dalam hantaran di akaun Facebooknya.

Dalam catatan itu, Dr Sim yang juga Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, mereka yang mahu menggunakan vaksin itu boleh mendapatkannya dari tempat lain.

"Bagi yang mahu disuntik vaksin AstraZeneca mereka boleh mendapatkannya di pusat vaksinasi di Selangor dan Kuala Lumpur. Bukan di Sarawak," katanya dalam catatan itu.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan penjelasan lanjut Dr Sim berhubung alasan Sarawak untuk menolak vaksin berkenaan gagal apabila beliau gagal dihubungi.

Malah mesej yang dihantar menerusi aplikasi Whatsapp juga tidak dibalas.

Usaha untuk mendapatkan reaksi Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi JPBN, Datuk Amar Douglas Uggah Embas juga gagal kerana dimaklumkan beliau menghadiri dua mesyuarat penting hari ini.

Menurut pegawai khasnya, Uggah juga tidak mengadakan sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak hari ini, kerana satu daripada mesyuarat itu dijangka berlarutan sehingga lewat petang.

Ketika ini, Sarawak menerima sebanyak 87,000 dos vaksin jenis Pfeizer BioNTECH yang diterima pada hujung Februari hingga pertengahan Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 5:25 PM