SAARANI, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
SAARANI, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Setiausaha Politik Menteri Besar Perak Datuk Sham Mat Sahat mengesahkan Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari bermula hari ini selepas menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19.

Sham mengesahkan perkara itu ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersempena Sambutan Hari Nuzul Quran peringkat negeri di Masjid Negeri, Masjid Sultan Idris Shah II, di sini, malam ini.

"Saya dapat maklumat bahawa Menteri Besar diminta menjalani kuarantin selama 14 hari kerana menjadi kontak rapat dengan kes positif (Covid-19) dalam satu majlis di Lenggong, namun maklumat selanjutnya saya masih belum peroleh dan sebab itu saya tidak dapat bercerita banyak.

"Pada 5 petang tadi baru beliau beritahu tidak dapat hadir ke majlis ini. Begitu juga untuk majlis berbuka puasa pada hari Jumaat ini di Batu Kurau, beliau (Saarani) minta saya mewakilkannya," kata Sham kepada pemberita.

Sementara itu, sumber lain memberitahu, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun turut diarahkan menjalani kuarantin 14 hari oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai Zolkafly yang dikatakan turut menjalani kuarantin, Sham berkata, beliau masih belum memperoleh maklumat mengenainya.

"Saya dapat maklumat (kuarantin) mengenai Menteri Besar sahaja, dan saya akan susuli maklumat berkenaan hal ini nanti. Nanti apa-apa saya beritahu.

"Namun (pagi) tadi memang Menteri Besar mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri," katanya.

Dalam pada itu, kelibat Saarani selaku Menteri Besar tidak kelihatan selaku penyambut ketibaan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke majlis sambutan Nuzul Quran pada malam ini.

Sebaliknya Saarani diwakili Exco Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Zainol Fadzi Paharuddin sebagai penyambut ketibaan Sultan Nazrin ke majlis itu.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan bantuan hari raya Aidilfitri daripada dana zakat zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebanyak RM7.82 juta kepada penghul umembabitkan kesemua 12 daerah di Perak untuk diserahkan kepada 31,296 penerima yang layak.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 10:57 PM