Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin ketika sidang media Mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin ketika sidang media Mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus menjalankan saringan komuniti untuk mengesan jangkitan Covid-19 supaya tindakan kawalan dan pencegahan dapat diambil segera bagi mengelak berlakunya kluster besar.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, KKM berwaspada dengan peningkatan kes Covid-19 terutamanya di Sarawak, Kelantan dan Selangor selepas purata pelaporan kes harian Covid-19 di negara ini melebihi 2,500 kes bermula 20 April lalu.

Dr Adham berkata, pihaknya akan meningkatkan saringan menggunakan 'health screening booth' di lapangan dengan kerjasama perkhidmatan kesihatan swasta dan sukarelawan kesihatan khususnya di kawasan merah.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata saringan bersasar juga akan dilakukan di lokaliti di mana prevelans Covid-19 melebihi 10 peratus berdasarkan 'concordance test' menggunakan Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag).

Dr Adham berkata, kawalan sempadan dan pengurusan pengembara dari luar negara bagi mencegah penularan Covid-19 dan varian baharu masuk ke Malaysia turut diperkukuhkan.

"Sempadan negara ditutup kepada kemasukan pengembara dari India susulan peningkatan kes dengan pengesanan varian baharu di negara itu.

"Tempoh kuarantin ditingkatkan kepada 14 hari ke atas semua pengembara dari negara-negara yang melaporkan penularan `varian of concern' dalam negara," katanya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 6:35 PM