ANWAR  (dua, kanan) ditemani peguamnya Sankara N Nair (kiri) selepas memberi keterangan di Bukit Aman hari ini. FOTO Bernama
ANWAR (dua, kanan) ditemani peguamnya Sankara N Nair (kiri) selepas memberi keterangan di Bukit Aman hari ini. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis mengesahkan mengambil keterangan daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berhubung rakaman audio yang didakwa memaparkan perbualan antara beliau dan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, Anwar dipanggil hadir ke pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman selepas pihaknya mendapat perintah untuk menyiasat daripada pendakwa raya mengikut peruntukan Seksyen 108 (2 ) Kanun Tatatcara Jenayah.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Huzir berkata, tindakan memanggil Presiden PKR itu adalah prosedur biasa bagi melengkapkan siasatan, selain membantu mengenal pasti individu yang membuat rakaman audio berkenaan serta motif audio berkenaan disebarkan.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 18 laporan polis diterima daripada 17 wakil politik dan seorang individu awam yang mendesak supaya siasatan dijalankan bagi menentukan kesahihan atau mungkin terdapat pihak tidak bertanggungjawab memalsukan audio itu untuk mencetuskan kegentaran awam serta perasaan tidak harmoni antara parti politik.

Katanya, penularan rakaman audio perbualan itu memberikan pelbagai persepsi negatif dan menimbulkan kebimbangan masyarakat berdasarkan komen warganet di media sosial memandangkan kedua-dua individu berkenaan adalah pemimpin politik yang berpengaruh.

Rakaman audio berdurasi empat minit 17 saat itu antara lain memperdengarkan perbualan suara mirip Anwar dan Ahmad Zahid yang tular di media sosial dan rangkaian telekomunikasi pada April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 10:17 PM