GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Majlis Daerah Baling (MDB) menafikan mengenakan bayaran sewa tapak tinggi terhadap peniaga di Uptown Batu 42 seperti yang tular di media sosial ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, dakwaan yang ditularkan pihak tidak bertanggungjawab itu adalah tidak berasas dan hanya spekulasi semata-mata.

Menurutnya, pihak MDB sudah menyerahkan pengurusan tapak berkenaan kepada syarikat swasta yang mengawal sepenuhnya urusan penganjurannya.

"Pada 30 Mac lalu, tapak peniaga Uptown Batu 42 Baling ditender kepada penganjur swasta bagi menguruskan kawasan berkenaan.

"Harga tender yang ditawarkan kepada penganjur adalah lebih rendah daripada harga yang ditawarkan kepada peniaga terbabit.

"Harga ini adalah bagi menampung kos yang terpaksa ditanggung penganjur seperti bayaran kepada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), kos sanitasi, kebersihan dan lain-lain kos yang diperlukan bagi penyelenggaraan di tapak berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular rungutan peniaga di media sosial yang tidak berpuas hati selepas mendakwa harga sewa tapak berhampiran sebuah pasar raya di daerah itu mencecah RM1,000 untuk tempoh 19 hari berbanding kadar dua tahun lalu hanya RM650.

Dr Mohd Hayati berkata, pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai kenyataan tidak sah dan meminta semua pihak berhenti mengeluar serta menyebar kenyataan jelik yang boleh merosakkan reputasi MDB.

Katanya, satu laporan polis akan dibuat MDB berikutan isu berkenaan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 7:08 PM