Hayati Ibrahim dan Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Pelaksanaan semula bekerja dari rumah (BDR) akan dibincangkan berikutan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) mahu dilaksanakan selama dua minggu persekolahan selepas cuti Aidilfitri.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau percaya alternatif BDR akan dibincangkan pihak berkaitan bagi membantu mengurangkan bebanan kepada ibu bapa yang perlu bekerja tetapi anak terpaksa berada di rumah untuk PdPR.

Menurutnya, bagi penjawat awam beliau percaya perbincangan akan diadakan antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

"Jadi kalau ada sebarang perubahan (berhubung BDR) perkara ini akan dibincangkan, dan KPPA pasti akan umumkan.

"Manakala pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan umumkan bagi kes yang berkaitan dengan pekerja swasta. Jadi kita tunggulah apa perbincangan dan keputusannya," katanya dalam sidang media hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Beliau menjawab soalan wartawan mengenai adakah terdapat kemungkinan kelonggaran bekerja untuk pekerja sektor awam dan swasta seperti BDR khususnya dalam tempoh anak terpaksa mengikuti PdPR yang memerlukan pemantauan ibu bapa.

Menurutnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, kerajaan umumkan pelaksanaan BDR tetapi keadaan berubah pekerja kembali bekerja ke tempat kerja dalam tempoh kes menurun.

"Jadi sekarang ini keadaan mungkin ada perubahan lagi terutama dari segi jumlah peningkatan kes harian Covid-19 positif dan sebagainya. Apa pun saya percaya pihak kerajaan akan berbincang mengenainya (BDR)," katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan dilaksanakan selama dua minggu persekolahan selepas cuti Aidilfitri.

Beliau dipetik berkata, langkah itu diambil bagi mengurangkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku di luar sekolah ketika musim perayaan dan bakal meningkatkan jangkitan di institusi pendidikan di bawah KPM.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 6:58 PM