Anwar Ibrahim (kanan) ditemani peguamnya Sankara N. Nair selepas memberi keterangan di Bukit Aman hari ini. FOTO BERNAMA
Anwar Ibrahim (kanan) ditemani peguamnya Sankara N. Nair selepas memberi keterangan di Bukit Aman hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dipanggil memberi keterangan berhubung rakaman audio yang didakwa memaparkan perbualan antara beliau dan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar dilihat tiba di Bukit Aman di sini sekitar 10 pagi dan meninggalkan kompleks ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu pada 11.20 pagi.

Presiden PKR itu ketika ditemui pemberita berkata, beliau hadir memberi kerjasama berhubung siasatan kes berkenaan.

"Saya dipanggil ke Bukit Aman hari ini adalah sebagai saksi kepada kes audio yang didakwa percakapan saya dan Presiden Umno.

"Jadi saya beri kerjasama kepada pihak polis dan mereka guna peruntukan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan untuk siasat kes ini," katanya kepada pemberita sebaik selesai memberi keterangan di sini, hari ini.

Mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, individu boleh disiasat kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

Rakaman audio berdurasi empat minit 17 saat itu antara lain memperdengarkan suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung Umno menerusi panggilan telefon.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 3:15 PM