MUHYIDDIN tertarik melihat cenderamata berbentuk gubahan bunga diperbuat dari daun getah yang dihasilkan penoreh getah di majlis penyampaian dividen Risda dan Felcra di Pejabat Risda. FOTO Fathil Asri.
MUHYIDDIN tertarik melihat cenderamata berbentuk gubahan bunga diperbuat dari daun getah yang dihasilkan penoreh getah di majlis penyampaian dividen Risda dan Felcra di Pejabat Risda. FOTO Fathil Asri.
Isma Ismail


Kuala Lumpur: Pekebun kecil digalakkan untuk menghasilkan lateks dari kebun berbanding getah sekerap bagi meningkatkan hasil dan pendapatan mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ia kerana harga lateks lebih tinggi berbanding harga getah sekerap.

Menurutnya, harga lateks boleh mencecah sehingga RM12 sekilogram (kg), manakala harga untuk getah sekerap pula antara RM2.60 hingga RM3 kg.

"Oleh itu, kita amat berharap dan menggalakkan supaya pekebun getah dapat meneroka penghasilan lateks sekali gus membantu mereka meningkatkan pendapatannya sendiri.

"Mungkin banyak kerja sikit untuk menghasilkan lateks tetapi nyata ia berbaloi dengan harganya, pekebun getah dulu-dulu pernah menghasilkan lateks berbanding kini ramai yang cenderung untuk mengeluarkan getah sekerap dari kebun mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Penyampaian Dividen Risda dan Felcra oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, hari ini.

Sementara itu, Abdul Rahman juga berharap peningkatan permintaan luar negara terhadap komoditi tempatan akan berterusan bagi memastikan harga getah dan kelapa sawit negara berada pada tahap terbaik.

Menurutnya, peningkatan permintaan pasaran luar negara terhadap komoditi negara terutamanya dari China, India dan Timur Tengah amat menggalakkan.

"Harga ladang bagi kelapa sawit kini mencecah RM850 bagi setiap metrik tan, manakala untuk getah pula adalah RM2.80 kg.

"Ia lebih tinggi berbanding harga kira-kira tiga tahun lalu, ini adalah hasil peningkatan permintaan daripada negara berkenaan," katanya.

Menurutnya, kira-kira tiga tahun lalu harga komoditi negara terutamanya kelapa sawit merudum kepada RM250 untuk setiap metrik tan.

Katanya, getah pula pernah jatuh hanya pada RM1.60 kg ketika itu.

"Kita akhirnya dapat memulih dan meningkatkan semula harga komoditi itu apabila menjalinkan hubungan baik dengan negara luar hingga mereka membeli komoditi kita berlipat kali ganda," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman menjangkakan kadar agihan dividen tahun ini akan lebih baik berbanding tahun lalu berdasarkan kepada peningkatan harga komoditi tempatan.

"Kita dapat lihat, agihan dividen hari ini adalah lambang kejayaan dan usaha Risda dan Felcra sepanjang tahun lalu, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 2:46 PM