KHAIRY (kanan) bersama Azlan meninjau operasi serta bertanyakan khabar kepada penerima vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 di Dewan 2020, Kangar. FOTO Aizat Sharif.
KHAIRY (kanan) bersama Azlan meninjau operasi serta bertanyakan khabar kepada penerima vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 di Dewan 2020, Kangar. FOTO Aizat Sharif.
Aizat Sharif


Kangar: Satu pengumuman berkenaan kaedah penggunaan vaksin keluaran AstraZeneca akan dibuat esok bagi mengurangkan kerisauan orang ramai berhubung berlakunya insiden pembekuan darah atau thrombosis dalam kalangan penerima vaksin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya sependapat dengan kenyataan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Institut kesihatan Negara (NIH) Dr Kalaiarasu M Peariasamy dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bahawa vaksin AstraZeneca selamat untuk digunapakai oleh penerima vaksin.

"Namun, kita tetap memahami kegusaran rakyat berkenaan vaksin ini ditambah pula banyak 'posting' dalam media sosial berkenaan AstraZeneca yang disampaikan sehingga ada yang takut untuk menerima vaksin.

"Walaupun selamat, dan data, sains serta segala-galanya mengatakan vaksin AstraZeneca selamat, saya tetap mengambil kira pandangan rakyat yang gusar dan kita tidak mahu ini menggugat program imunisasi vaksin Covid-19 yang sedang berlangsung.

"Saya akan berbincang dengan Datuk Seri Dr Adham dan akan membuat satu pengumuman esok mengenai kaedah penggunaan AstraZeneca yang boleh mengurangkan kerisauan orang ramai ini," katanya.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata demikian selepas membuat lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 di Dewan 2020, di sini hari ini.

Katanya, secara keseluruhan terdapat 65,849 individu sudah mendaftar untuk suntikan vaksin Covid-19 di Perlis.

"Ini adalah 35 peratus daripada populasi penduduk 18 tahun ke atas di Perlis dan bagi Fasa kedua ini, sebanyak 23,550 golongan warga emas, komorbid dan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini.

"Selain itu, kita juga sudah menghantar sebanyak 17,622 notifikasi temujanji untuk suntikan vaksin itu di Perlis dan pada 24 Mei hadapan, satu lagi PPV akan dibuka di Dewan Seri Melati, Beseri di Padang Besar sebagai tambahan kepada PPV sedia ada.

"Selain itu, terdapat PPV di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar yang dikhaskan untuk golongan berisiko seperti masalah sistem imun, pendarahan serta alahan yang perlu dirujuk di hospital ini untuk terima vaksin," katanya.

Beliau berharap kerjasama dapat diberikan oleh seluruh rakyat Perlis untuk membuat pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 dalam kadar segera dalam usaha menjadikan Perlis sebagai negeri pertama yang berjaya selesai program imunisasi berkenaan.

Terdahulu, Khairy bersama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man meninjau operasi termasuk beramah mesra dengan orang ramai yang menunggu giliran mereka untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 2:41 PM