MUHAMMAD Sanusi kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa di Masjid Aishah, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
MUHAMMAD Sanusi kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa di Masjid Aishah, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Pemberian vaksin Covid-19 secara 'walk-in' kepada penduduk Langkawi diyakini mampu mempercepat proses pemulihan sektor pelancongan di pulau itu yang terjejas teruk sejak lebih setahun lalu.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md No berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sudah bersetuju melaksanakan pendekatan itu dalam tempoh terdekat.

"Saya dan Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin bertemu dan bincang hari ini (semalam) untuk buat program vaksinasi khusus membabitkan antara 100 dan 200 orang sehari di Langkawi.

"Harapan kita, program itu dapat dilaksanakan segera dan sempurna kepada penduduk berusia 18 tahun ke atas," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa di Masjid Aishah di sini, semalam.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Juhari Bulat; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuah, Firdaus Ahmad dan Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi.

Muhammad Sanusi berkata, mengikut statistik, terdapat sekitar 85,000 penduduk Langkawi berusia 18 tahun ke atas, namun pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera agak perlahan.

Beliau berkata, pendekatan terbaharu itu penting dilaksanakan kerana 70 peratus sumber ekonomi penduduk Langkawi bergantung kepada sektor pelancongan.

"Jika sebahagian besar penduduk (Langkawi) sudah divaksin, ini meyakinkan kerajaan pusat untuk melaksanakan gelembung pelancongan bersasar.

"Pelancong yang lengkap menerima vaksin boleh datang, penduduk yang terima suntikan sama boleh sambut, sekali gus perniagaan akan hidup," katanya.

Tambah beliau, pendekatan itu juga dapat membantu penduduk luar bandar berhadapan masalah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera kerana faktor usia dan tiada telefon pintar.

Pada majlis itu, Muhammad Sanusi menyampaikan sumbangan kepada 60 penerima terdiri bidan kampung, mudim, juru mandi jenazah, penggali kubur dan bomoh patah mewakili Dewan Undangan Negeri Kuah dan Ayer Hangat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 9:13 AM