RADZI ketika sidang media berkaitan isu semasa pengoperasian sekolah di Putrajaya. FOTO Ihsan KPM
RADZI ketika sidang media berkaitan isu semasa pengoperasian sekolah di Putrajaya. FOTO Ihsan KPM
BERNAMA

Putrajaya: "Jika ia berlaku, beritahu saya di sekolah mana, supaya tindakan boleh diambil," itu jawapan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin ketika diminta mengulas mengenai kes amalan memeriksa pelajar perempuan secara fizikal untuk membuktikan mereka datang haid.

Radzi berkata, pihaknya juga berusaha mengesan kes seumpama itu di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan setakat ini tiada sebarang maklumat amalan itu wujud.

Tegasnya, KPM akan mengambil tindakan susulan jika maklumat yang disebarkan disertakan maklumat lengkap seperti kes lain sebelum ini.

Beliau memberi contoh kes di Batu Pahat, Johor iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Bentara Luar yang dikatakan mengasingkan kegiatan kokurikulum berdasarkan bangsa pelajarnya.

Katanya, dalam kes itu siasatan KPM mendapati perkara itu memang berlaku, dan beliau sendiri mengeluarkan kenyataan mengenainya.

"Tapi bagi isu itu (pemeriksaan haid), kami sedang periksa sehingga sekarang, kami check satu-satu, semua bahagian kami tanya dan jawapannya, tiada," katanya.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan pelajar di beberapa buah sekolah yang tidak dinamakan mendakwa amalan memeriksa pelajar perempuan secara fizikal untuk membuktikan mereka datang bulan dikatakan berlaku sejak 20 tahun lalu.

Sementara itu, Radzi turut mengulas mengenai penyebaran video TikTok seorang pelajar sekolah menengah di Selangor yang mendakwa seorang guru mata pelajaran pendidikan jasmani bergurau secara keterlaluan yang merujuk kepada perbuatan rogol.

"Ia telah jadi kes polis, kita tak nak sentuh banyak. Namun perbuatan itu tak sepatutnya berlaku, semua kita pun tak setuju, lebih-lebih lagi ia melibatkan adab dan integriti anak-anak kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 8:22 PM