Jururawat melakukan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech untuk warga emas pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Jururawat melakukan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech untuk warga emas pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 504,165 individu sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau menerusi akaun Twitternya hari ini berkata bagi tempoh sama, seramai 800,996 individu sudah menerima dos pertama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini berjumlah 1,305,161 dos setakat semalam.

Menerusi satu infografik yang dikongsikan, Dr Adham berkata lima negeri yang menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 103,615 dos, diikuti Kuala Lumpur (87,609), Sarawak (83,588), Johor (72,467) dan Sabah (66,640).

Lima negeri tertinggi yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam pula ialah Selangor dengan 70,512 dos, diikuti Sarawak (51,931), Perak (50,035), Sabah (45,602) dan Kuala Lumpur (44,379).

Menurut Dr Adham, setakat semalam hanya 38.20 peratus atau 9,277,999 daripada golongan sasaran telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi sebanyak 2,416,523 pendaftaran atau 49.90 peratus.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula pada April hingga Ogos pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya, manakala fasa ketiga yang dijadual dari Mei hingga Februari 2022, membabitkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 5:22 PM