GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Penutupan 79 sekolah di Selangor akibat Covid-19 adalah mengikut format yang sudah ditetapkan..

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan penutupan sekolah itu terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

"Kita sudah tetapkan formatnya dan ada persefahaman di antara Pusat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Kesihatan Negeri dan juga kepada Jabatan Pendidikan Negeri. Itu yang pentingnya sebab kuasa untuk menutup sekolah terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Pendidikan Negeri dan Pusat Pendidikan Daerah harus memberikan kelulusan.

"Apa yang pasti, format (lebih baik) berbanding dengan 19 sekolah yang kali pertama itu tidak mengikut saluran dan juga perbincangan yang sewajarnya walaupun kita terima, kali ini kita ikut format itu.

"Jadi, setelah PKD memaklumkan dan jabatan kesihatan merasakan kes-kes itu wajar ditutup, kita tutup sebab 'controller' kepada seluruh sekolah terletak di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor," katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ekspo Hasil Suri Selangor Hybrid 2021 dan Pelancaran Wanita Berdaya Selangor di Bangunan SUK di sini, hari ini.

AMIRUDIN (kanan) melawat gerai pameran selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ekspo Hasil Suri Selangor Hybrid 2021 dan Pelancaran Wanita Berdaya Selangor. FOTO Ruwaida Md Zain
AMIRUDIN (kanan) melawat gerai pameran selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ekspo Hasil Suri Selangor Hybrid 2021 dan Pelancaran Wanita Berdaya Selangor. FOTO Ruwaida Md Zain

Terdahulu, beliau diminta mengesahkan senarai edaran daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor berkenaan 79 sekolah ditutup bermula hari ini dan esok akibat pengesanan jangkitan Covid-19.

Amirudin berkata, mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri yang terkini sudah memutuskan apa-apa berkaitan penutupan sekolah itu harus diputuskan oleh PPD dan kerajaan negeri akan melaksanakan tindakan susulan termasuk saringan.

"Dalam masa terdekat saringan akan dimulakan yang diuruskan oleh pihak Exco Kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud manakala aktiviti lain contohnya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) itu diputuskan di peringkat pusat," katanya.

Beliau berkata, pihak yang wajar membuat pengumuman berhubung penutupan 79 sekolah itu adalah pihak Majlis Keselamatan Negara di peringkat pusat dan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Saya tidak buat pengumuman sebab yang wajar buat pengumuman ini adalah MKN di peringkat pusat, itu wajar dan kedua, di bawah KPM, Dr Radzi Jidin.

"Jadi kalau saya sahkan atau tidak sahkan itu tidak betul juga sebab akhirnya kementerian yang akan memberikan pengesahan penutupan sekolah ini.

"Maknanya negeri tidak boleh senang-senang umumkan kita tutup (sekolah) ... walaupun boleh tetapi bidang kuasanya tidak kena kecuali memang betul-betul teruk dan haru-biru," katanya.

Mengulas lanjut katanya, saringan akan difokuskan kepada kawasan sasaran yang mempunyai jumlah kes yang banyak.

"Isu paling besar memang jangkitan pada murid sekolah tetapi mengikut data yang kita ada kadar kemampuan bertahan murid-mutid adalah lebih tinggi daripada warga emas dan individu berpenyakit.

"Guru-guru, pekerja sekolah, pekerja kantin yang mungkin tergolong dalam kumpulan ada penyakit serius dan warga emas... jadi sasaran saringan kita kepada komuniti.

"Saringan kepada semua murid, itu luar kemampuan kita dan biarkan diputuskan jabatan pendidikan jika dirasakan perlu sebab di Selangor ada kira-kira 1 juta pelajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 5:00 PM