FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Rafidah Mat Ruzki dan Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan mengemukakan syor kepada Kementerian Pendidikan (KPM) sama ada sesi pembelajaran di sekolah yang mempunyai kes positif Covid-19 perlu dilakukan secara bersemuka atau hibrid.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata keputusan itu sudah dibincangkan dengan KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini mengenai isu penutupan sekolah serta institusi pendidikan.

"Berikutan itu, kita tetapkan penilaian risiko akan dijalankan oleh PKD, dan PKD di setiap daerah akan membuat cadangan atau syor bagi keperluan tertentu," katanya dalam sidang media khas, di kementeriannya di sini, hari ini.

Dr Adham berkata, selain itu pihaknya akan memantau Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa di sekolah, selepas dan sebelum sesi persekolahan.

"Jadi kita akan pastikan sama ada pelajar yang mempunyai gejala perlu diasingkan," katanya.

Sementara itu, Dr Adham memaklumkan sejak Januari sehingga kini sebanyak 23,779 pelajar yang berusia 12 tahun ke bawah sudah disahkan positif Covid-19.

Katanya, jumlah itu dilihat meningkat secara mendadak iaitu hanya 8,369 kes membabitkan pelajar berusia 12 tahun ke bawah direkodkan pada tahun lalu.

Mengenai kluster membabitkan sektor pendidikan, Dr Adham berkata ia adalah 32.4 peratus daripada keseluruhan 1,583 kluster di negara ini.

"Data yang ditunjukkan ini menunjukan mudahnya transmisi itu merebak walaupun pada asalnya hanya satu kes dijangkiti Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 3:47 PM