Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Raja Noraina Raja Rahim


Shah Alam: Akibat gurauan melampau seorang guru dan rakan seolah-olah menggalakkan perbuatan rogol, seorang pelajar membuat dua laporan polis mengenai kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, laporan berkenaan diterima daripada pelajar berusia 16 tahun itu pada Sabtu dan semalam.

"Laporan pertama dibuat berkaitan pendapatnya mengenai pendekatan guru yang dirasakan tidak sesuai.

"Manakala laporan kedua berkenaan gurauan seorang rakan sekelasnya yang tidak boleh diterima," katanya dalam sidang media mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata, setakat ini polis sudah merakam keterangan pelajar dan guru terbabit.

"Sekarang ini, kita (polis) sedang giat ambil keterangan rakan sekelas untuk dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang guru Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol dalam sesi pendidikan itu.

Katanya, pada mulanya pelajaran berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan itu.

Bagaimanapun, pelajar berkenaan mendakwa guru lelaki itu bergurau dan mula bercakap lucah.

Berita berkaitan:

  • Guru didakwa galak rogol sudah diambil keterangan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 3:26 PM