GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Wartawan HM

Kuala Lumpur: Seramai 50,000 pelajar yang layak bakal menerima peranti untuk membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian di bawah program Cerdik.

Cerdik ialah satu inisiatif jangka panjang yang menyediakan akses digital untuk pendidikan merangkumi dua komponen utama iaitu akses kepada peranti dan kesalinghubungan data.

Program itu adalah kerjasama Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertujuan untuk merapatkan jurang pembelajaran digital bagi sekolah rendah dan menengah di Malaysia.

Dalam satu kenyataan oleh Yayasan Hasanah, Cerdik akan meneroka model pembelajaran digital untuk diguna pakai di masa hadapan dan bukan sekadar inisiatif sumbangan peranti untuk jangka pendek.

Setakat ini, 13,000 peranti diedarkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di beberapa negeri.

Lebih 1,000 pelajar sudah menerima peranti mereka dan berdasarkan kapasiti rantaian bekalan semasa, Cerdik menyasarkan sekurang-kurangnya 50,000 pelajar akan menerima peranti mereka pada akhir Mei depan.

Pengedaran baki 100,000 peranti lagi dijangka selesai pada akhir September depan.

Program perintis itu dibiayai penuh GLC, GLIC dan penderma korporat di mana setiap pihak perlu melalui proses kawal selia masing-masing.

Kesemua peranti disahkan yang terkini dengan kapasiti yang mencukupi untuk naik taraf perisian (software upgrades) bagi menyokong pembelajaran akademik di sekolah selama sekurang-kurangnya tiga tahun.

Selain itu, pengesahan kualiti, fungsi dan keselamatan setiap alat juga perlu dipastikan untuk mencegah atau meminimumkan sebarang isu atau gangguan dalam pembelajaran kelak.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, Cerdik adalah satu program perintis pembelajaran digital dan ia dilaksanakan tepat pada masanya ketika pendigitalan kian pantas berkembang dalam semua aspek kehidupan masyarakat.

"Malah, transformasi digital menjadi keperluan dalam era moden ini seperti yang kita dapat lihat, krisis wabak Covid-19 jelas membuktikan pendigitalan adalah sangat diperlukan.

"Di serata dunia, pembelajaran maya, misalnya sangat penting untuk memastikan persekolahan tidak terjejas dan pendidikan dapat diteruskan," katanya.

Beliau juga meyakinkan ibu bapa setiap peranti Cerdik dilengkapi dengan sokongan teknikal dan jaminan yang diperlukan untuk mengurangkan gangguan dalam pembelajaran digital.

Bagi Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Covid-19 memesatkan penggunaan digital buat orang ramai dan pembelajaran jarak jauh semakin menjadi satu kebiasaan.

"Program Cerdik diperkenalkan untuk merapatkan jurang sosio-ekonomi dengan memudahkan pembelajaran digital untuk golongan berpendapatan rendah.

"Program perintis ini membolehkan pembelajaran digital yang perlu dijadikan komponen asas dalam pendidikan anak-anak kita jika kita ingin meraih manfaat ekonomi melalui Revolusi Industri Keempat," katanya.

Malah, kedua-dua Menteri berkenaan merakamkan ucapan terima kasih kepada penderma korporat atas sumbangan besar mereka untuk menjayakan program perintis Cerdik.

Antara syarikat yang terbabit dalam program itu adalah Khazanah Nasional Berhad (KNB) dan kumpulan syarikatnya, Yayasan Petronas, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan kumpulan syarikatnya serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kumpulan syarikatnya serta Lembaga Tabung Haji.

Bagi ibu ini, Roslaini Rustam, dia bersyukur kerana anak perempuannya yang juga seorang murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang menerima sebuah peranti untuk digunakan buat pembelajarannya.

"Ketika guru menjalankan kelas dalam talian semasa pandemik ini, kami menghadapi masalah kerana tiada alat peranti yang mencukupi untuk dikongsi di antara lima beradik.

"Jadi saya harap anak-anak saya akan menggunakan alat ini untuk manfaat diri mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 7:14 PM