Sebanyak 50 kotak minyak masak dimuatkan dalam kereta jenis Proton Iswara Aeroback dan dirampas anggota PGA8 di sekat pintas Pos Nibong. FOTO IHSAN PGA
Sebanyak 50 kotak minyak masak dimuatkan dalam kereta jenis Proton Iswara Aeroback dan dirampas anggota PGA8 di sekat pintas Pos Nibong. FOTO IHSAN PGA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Sebuah kereta yang dipenuhi dengan muatan 50 kotak minyak masak ditahan di sekat pintas Pos Nibong, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 12.15 tengah malam, kereta Proton Iswara Aeroback itu ditahan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika sedang menjalankan penugasan.

Pegawai Pemerintah Medan Superintendan Azhari Nusi berkata, pemeriksaan yang dibuat dalam kenderaan itu menemui sejumlah kotak berwarna coklat mengandungi minyak masak.

"Kesemua 50 kotak itu mengandungi 850 kilogram (kg) minyak masak dengan anggaran nilai RM2,550.

"Kita percaya barang kawalan itu mahu diseludup ke Thailand menerusi pangkalan haram sekitar Pengkalan Kubor," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Azhari berkata, pemandu kereta berusia 46 tahun ditahan dan saringan ujian air kencing mendapati suspek positif Methampethamine.

Katanya, keseluruhan rampasan yang dianggarkan bernilai RM6,550 termasuk kereta itu dibawa ke Balai Polis Simpangan untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 5:32 PM