FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Enam warga asing dan seorang lelaki tempatan yang juga penjaga premis ditahan dalam serbuan di sebuah kedai makan di Taman Sri Endah, Sri Petaling, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, penahanan itu susulan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di premis berkenaan jam 11.30 malam.

"Ketika serbuan dilakukan, pintu premis dibuka seorang lelaki berusia 32 tahun yang mengaku bekerja sebagai penjaga kedai makan berkenaan.

"Bunyi muzik turut kedengaran di dalam premis itu. Kami menahan penjaga premis berkenaan selain seorang lelaki warga Bangladesh berusia 28 tahun dan tiga lelaki serta dua wanita warga Uganda berusia antara 21 hingga 29 tahun dalam serbuan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, pihaknya turut mengeluarkan kompaun kerana melanggar SOP PKPB ke atas penjaga premis berkenaan dan enam pelanggan premis.

"Semakan mendapati premis itu mempunyai lesen perniagaan restoran atau kedai makan yang sah sehingga 20 Oktober.

"Kami turut merampas beberapa barangan di dalam premis berkenaan termasuk sebuah komputer riba, satu pembesar suara serta satu mikrofon," katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan warga asing ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari sehingga 7 Mei ini untuk siasatan lanjut.

"Semakan ketulenan dan tempoh sah pasport akan dihantar kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk pengesahan.

"Kes itu disiasat atas pelbagai kesalahan jenayah mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi semua peraturan dan SOP di bawah PKPB yang ditetapkan kerajaan.

"Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 3:49 PM