PETANI Kampung Dulang Kechil, Yan. Abdullah Yahya,62 dan Harun Ahmad.  FOTO Noorazura Abdul Rahman
PETANI Kampung Dulang Kechil, Yan. Abdullah Yahya,62 dan Harun Ahmad. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pesawah di negeri ini enggan menggunakan benih padi varieti lain kecuali MR297 berikutan ia terbukti tahan lasak dan hasilnya lebih lumayan.

Petani Harun Ahmad, 61, berkata beberapa benih padi seperti MR217 dan MR219 sudah lama tidak digunakan kerana hasilnya tidak memuaskan selain batangnya tinggi dan mudah tumbang.

Katanya, bagi benih padi jenis MR263 pula, pokok padi yang tumbuh lebih rendah, namun hasilnya kurang berbanding MR297.

"Sudah lebih 30 tahun saya jadi petani, sekiranya dicadangkan guna benih lain yang pernah digunakan petani di sini, ia umpama diberikan anak pokok durian telur buaya sedangkan orang sekarang tanam durian Musang Kking.

"Selain itu, banyak benih padi lain tidak tahan dengan keadaan cuaca di sini, ketika musim menuai pada Julai atau Ogos nanti, selalunya ia musim angin kencang, pokok padi akan mudah rebah, jadi rugilah kami," katanya yang tinggal di Kampung Dulang Kechil, Yan.

Selasa lalu, media melaporkan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) mendakwa berlaku masalah kelewatan benih padi sah ketika ini, sehingga menjejaskan musim tanaman baharu ke atas sebahagian besar petani.

Harun yang juga Exco Pesawah berkata, sehingga kini majoriti lebih 300 pesawah di kampung berkenaan masih menunggu benih padi yang diedarkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

"Selepas seminggu, seminggu janji akan edar benih, tak tahu sampai bila nak tunggu. Saya difahamkan hujung bulan ini akan dapat, jika tidak ada juga saya terpaksa beli daripada rakan-rakan lain yang ada lebihan benih padi jenis MR297," katanya.

Seorang lagi petani, Abdullah Yahya, 62, berkata dia mungkin terpaksa membeli benih padi tanpa subsidi daripada pengedar lain walaupun terpaksa mengeluarkan lebih belanja.

Katanya, dia akan menggunakan benih padi varieti MR220 atau lebih dikenali sebagai padi kebal di Kedah.

"Ini pilihan terakhir yang saya sedang fikir sekarang. Namun masih sangat berharap benih padi jenis MR297 akan diedarkan segera.

"Jenis MR220 harganya mencecah lebih RM50 satu beg berbanding MR297 hanya RM35. Nak buat macam mana, jika tak ada juga benih MR297, terpaksalah beli sebab pesawah sudah berada di hujung waktu menanam.

"Benih padi jenis MR220 ini memerlukan proses meracun yang lebih bagi mengelak berlaku masalah padi angin iaitu buahnya mudah luruh atau relai apabila disentuh," katanya yang mengusahakan lebih empat hektar sawah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 3:48 PM