FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Keseronokan 11 individu yang berhibur di bilik rahsia di sebuah kedai makan di Jalan 1/152, Taman OUG Parklane, di sini, terbantut selepas premis berkenaan diserbu polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di lokasi berkenaan pada 9.45 malam.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, pintu premis terbabit dibuka oleh seorang lelaki yang mengaku bekerja sebagai penjaga premis.

"Pengadu bersama saksi polis kemudian terdengar muzik yang dimainkan dengan kuat dari bahagian belakang premis itu sebelum menemui satu bilik rahsia yang disediakan untuk berhibur dan karaoke.

"Pemeriksaan di dalam bilik itu mendapati terdapat enam lelaki dan lima wanita sedang leka berhibur," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis dan lima wanita warga Vietnam berusia antara 28 hingga 32 tahun yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).

"Kami turut mengeluarkan kompaun ke atas penjaga premis berkenaan dan enam lelaki tempatan yang juga pelanggan premis kerana melanggar SOP PKPB.

"Pemeriksaan mendapati premis itu mempunyai lesen perniagaan restoran atau kedai makan yang sah sehingga 20 Oktober nanti," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa barangan di dalam premis terbabit termasuk tiga mikrofon, set audio dan lain-lain.

"Semua tangkapan warga asing ditahan selama 14 hari sehingga 7 Mei ini mengikut Akta Imigresen 1959/63 untuk semakan ketulenan dan tempoh sah pasport kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Kes itu disiasat atas pelbagai kesalahan jenayah di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992 dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi semua peraturan PKPB yang ditetapkan.

"Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 3:03 PM