RAZMAN Zakaria dalam majlis penyampaian sumbangan makanan di Semanggol hari ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
RAZMAN Zakaria dalam majlis penyampaian sumbangan makanan di Semanggol hari ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Pesawah di Perak perlu memastikan jenis padi atau variati yang benar-benar dimahukan sebelum membuat tempahan pada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan, Razman Zakaria berkata sehingga kini Perak tidak mengalami sebarang masalah bekalan benih padi seperti yang berlaku di Perlis dan Kedah.

Menurutnya, setakat ini bekalan benih padi di Perak masih mencukupi dan hanya mengalami masalah pada peringkat awal sahaja.

"Pada peringkat awal di Perak mengalami masalah sama seperti yang berlaku di dua negeri utara iaitu kekurangan variati MR 297 namun berjaya di selesaikan dengan segera.

"Sebenarnya masalah benih padi yang berlaku bukanlah berpunca daripada kegagalan pembekal menyediakan benih mencukupi namun disebabkan permintaan pesawah yang mahukan variati berbeza daripada apa yang mereka pesan sebelum memulakan musim penanaman padi," katanya ditemui media selepas majlis Penyampaian Sumbangan Makanan kepada asnaf di Markas PAS Kubu Gajah, Semanggol, di sini, hari ini.

Razman menasihatkan pesawah supaya tidak sewenang-wenangnya menukarkan benih padi yang dipesan pada saat-saat akhir kerana ia boleh menimbulkan pelbagai masalah.

"Pembekal sebenarnya sudah menyediakan jenis atau variati yang dimahukan namun tindakan pesawah yang mahukan benih padi berbeza ketika hendak memulakan musim penanaman, ia akan menimbulkan masalah lain dan memberi kesan kepada kerajaan kononnya kerajaan tidak peka dengan masalah yang dihadapi.

"Nak buat benih ini bukannya boleh 'on the spot' macam buat roti, sebaliknya memerlukan beberapa bulan atau semusim padi untuk menghasilkan variati yang dimahukan.

"Justeru pesawah perlu memastikan betul-betul jenis atau variati yang dimahukan sebelum membuat tempahan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 12:27 PM