Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Persediaan rapi dibuat bagi membolehkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) khas untuk pelajar di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor, di sini, dibuka bagi menempatkan pelajar sekolah yang positif, dalam masa terdekat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, bagi pembukaan PKRC itu, anggota keselamatan bersama-sama kakitangan kesihatan meletakkan katil serta peralatan perubatan.

Katanya, PKRC berkenaan adalah yang ketujuh di Kelantan yang boleh memuatkan 300 pesakit dalam satu masa.

"PKRC khas itu menggunakan dua blok asrama sekolah yang akan menerima pesakit dalam masa terdekat.

"Kami dalam tempoh membaik pulih kemudahan di lokasi itu demi keselesaan pesakit Covid-19," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, PKRC di Dewan Jabatan Belia di Panji mula dibuka, semalam, yang boleh menempatkan 140 pesakit dalam satu masa.

SEBAHAGIAN 20 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Bharu membantu persiapan untuk kemasukan pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID- 19 (PKRC) khas bagi menempatkan pelajar sekolah yang positif di Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Salor. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SEBAHAGIAN 20 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Bharu membantu persiapan untuk kemasukan pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID- 19 (PKRC) khas bagi menempatkan pelajar sekolah yang positif di Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Salor. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Media sebelum ini melaporkan, susulan peningkatan kes positif Covid-19 di Kelantan menyebabkan kadar penggunaan katil di hospital dan lima PKRC di negeri itu hampir penuh.

Kelmarin, Kelantan merekodkan kes baharu Covid-19 tertinggi di negara ini dengan 662 kes daripada keseluruhan 2,875 kes, manakala sebanyak 476 kes baharu direkodkan daripada keseluruhan 2,847 kes.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, sebarang pertimbangan akan dibuat untuk kebaikan semua pihak.

Beliau meminta kerjasama daripada semua untuk mengekang Covid-19 di negeri ini.

"Terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk jangan hadir di tempat sesak.

"Jaga keselamatan diri dan ahli keluarga smabil berdoa memohon supaya pandemik Covid-19 berlalu pergi berkat hari Jumaat dan bulan Ramadan.

"Semoga kita semua terhindar daripada dijangkiti sebarang wabak penyakit berbahaya ini," katanya menerusi kenyataan media, semalam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 6:32 PM