Polis menumpaskan kumpulan kongsi gelap Geng 18 Datuk Suresh dan Geng 21 Sunder dengan penahanan 22 orang termasuk ketuanya dalam Op Cantas Sinecura semalam. FOTO Ihsan PDRM
Polis menumpaskan kumpulan kongsi gelap Geng 18 Datuk Suresh dan Geng 21 Sunder dengan penahanan 22 orang termasuk ketuanya dalam Op Cantas Sinecura semalam. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis

Kuala Lumpur: Polis menumpaskan kumpulan kongsi gelap Geng 18 Datuk Suresh dan Geng 21 Sunder dengan penahanan 22 individu termasuk ketuanya dalam Op Cantas Sinecura, kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, operasi khas dijalankan itu bagi membanteras dua kumpulan kongsi gelap terbabit yang bergiat aktif di sekitar Puchong, Serdang, Kapar dan Klang, Selangor.

Menurutnya, kumpulan ini didapati terbabit dengan aktiviti kongsi gelap dan pelbagai kes jenayah kekerasan seperti merusuh, pemerasan serta mendatangkan kecederaan.

"Seramai 22 lelaki berjaya ditangkap di sekitar Puchong, Serdang, Kapar dan klang, Selangor.

"Mereka yang ditahan itu terdiri 12 orang termasuk ketua dan ahli dari Geng 18 Datuk Suresh manakala 10 lagi yang ditahan terdiri ketua dan ahli dari Geng 21 Sunder," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Huzir berkata, suspek yang ditahan berusia 35 hingga 48 tahun dan hasil siasatan mendapati mereka mempunyai satu hingga sembilan rekod jenayah lampau dengan majoriti mereka mempunyai tiga hingga ke lima rekod jenayah lampau.

"Antara kes itu adalah seperti mendatangkan kecederaan, gaduh gempar, samun, dadah dan lain-lain.

"Siasatan dijalankan mengikut Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca)," katanya.

Beliau berkata, operasi ini dijalankan susulan video kejadian pada 25 November lalu yang tular membabitkan sekumpulan lelaki daripada Geng Datuk Suresh merusuh dan mencederakan mangsa di sebuah pusat hiburan di Brickfields, Kuala Lumpur.

"Seorang anggota polis yang secara kebetulan menjalankan tugas risikan di pusat hiburan berkenaan dikepung, ditengking dan dipukul oleh kumpulan itu.

"Dalam kejadian lain yang berlaku di Kapar, Selangor pada 21 Januari tahun lalu, sekumpulan lelaki Geng 21 Sunder bersenjatakan parang, kayu dan besi menyerang seorang mangsa sehingga mendatangkan kecederaan yang serius," katanya.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengesan beberapa video klip yang menunjukkan tindakan ganas serta agresif kumpulan berkenaan.

"Hasil siasatan juga mendapati terdapat 10 laporan polis yang membabitkan kumpulan itu.

"Penularan video itu menimbulkan kegusaran kepada masyarakat. PDRM khususnya JSJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan kumpulan kongsi gelap / gengsterisme.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap kumpulan yang melanggar undang-undang serta cuba mengganggu gugat ketenteraman awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 6:06 PM