WANG palsu yang digunakan suspek. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
WANG palsu yang digunakan suspek. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Gara-gara berbelanja menggunakan wang palsu, seorang penganggur ditahan oleh sekumpulan peniaga sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata suspek wanita berusia 33 tahun itu sebelum itu membeli pakaian di tapak ekspo raya Bandar Seri Jempol pada 10.30 malam tadi.

Katanya, suspek dipercayai datang ke ekspo berkenaan dengan seorang lagi rakan namun rakannya menunggu di dalam sebuah kereta yang di parkir berhampiran.

"Suspek membeli pakaian berharga RM40 di sebuah gerai dengan menggunakan sekeping wang kertas RM100 dan peniaga memulangkan baki sebanyak RM60 kepada suspek tanpa menyedari ia duit palsu.

"Lebih kurang 30 minit kemudian, datang seorang peniaga lain bersama suspek ke gerai peniaga berkenaan dan meminta membuat pemeriksaan ke atas wang RM100 yang digunakan membeli pakaian.

"Hasil pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas duit mendapati wang berkenaan adalah palsu," katanya hari ini.

Hoo berkata suspek kemudian ditahan oleh peniaga ekspo berkenaan sebelum dibawa ke Balai Polis Bandar Seri Jempol.

Katanya, siasatan polis kemudian mendapati suspek memiliki tiga keping wang kertas RM100 yang didakwa suspek diterima hasil jualan telefon bimbitnya.

"Suspek turut mengakui menggunakan wang berkenaan bagi urusan pembelian barangan di tapak ekspo berkenaan.

"Suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 489 C Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 11:17 AM